Yang menjalinkan Ukhwah


Tuesday 29 May 2012

Boleh Buat Maksiat, Ada Syaratnya ....

بِسْــــــــــــــــــمِ-اﷲِالرَّحْمَنِ-اارَّحِيم


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham.
Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata,

"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."





Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"


1.Ibrahim bin Adham berkata,

"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."



Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata,
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?"
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.

"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya? "




2. "Yang kedua," kata Ibrahim,

"Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!"

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya,

" Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya? "

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.



| Segeralah Bertaubat selepas terlanjur melakukan maksiat |

3. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab,

"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!"



Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata,

"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

 " Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.



4.Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan,

"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya;
Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh."

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,

"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku? "



"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu,

lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"



"Baiklah, apa syarat yang kelima?"


5.Ibrahim pun menjawab,

"Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."



Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya. "



Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.

Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.




Janganlah kita sengaja melakukan maksiat kepada Allah. Kerana maksiat, api neraka akan membakar tubuh kita tanpa kasihan, sedangkan kerana menjauhkan maksiat di bumi, Syurga akan merindui kita.
Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum ..
Moga post tadi beri sesuatu manfaat pada sahabat ..
Coretkanlah pendapat jika ada..
Syukran =D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...